9 Cara Turunkan Suhu Anak-anak Ketika Demam

10/11/2015 Unknown 0 Comments

Susah hati, risau, bimbang, celaru. Mungkin inilah perasaan yang sering ibu-ibu alami apabila anak-anak mengalami demam. Melihat anak-anak dalam keadaan tidak sihat, tidak bermaya dan lemah pasti membuat hati si ibu bertambah runsing.

Pernah atau tidak, ibu-ibu mengalami situasi seperti saya ini?

Situasi 1 :




Anak saya Farhan disahkan oleh doktor mempunyai masalah tonsil. Apabila tonsil bengkak, secara automatik dia pun akan mula demam. Paling membimbangkan saya dan ayahnya adalah apabila demam, suhu badannya amat tinggi, kadang-kadang boleh mencapai 40 C.





Situasi 2 :


Apabila si adik demam, tiba-tiba si abang pun boleh berjangkit sama. Fahim, anak pertama saya agak susah mendapat demam, mungkin antibodi badannya agak tinggi. Tetapi, jika sekali terkena demam, parah juga saya dan ayahnya. Suhu tinggi, tak lalu makan, tak lalu minum dan kadang-kadang tidak aktif langsung.




APAKAH YANG SAYA BUAT?

Memang saya akan membawa mereka ke klinik. Mula-mula, biarlah doktor dulu yang periksa kondisi mereka dan barulah saya akan ikhtiarkan cara selebihnya. Apabila diberikan ubat, suhu badan mereka memang akan turun buat seketika. Dan kemudiannya akan naik balik suhu itu. Situasi ini mungkin berlarutan antara 2 hingga 3 hari lamanya. Tak tahan melayan situasi macam itu, saya kena ikhtiar pula cara lain, cara semulajadi. Jadi, saya rujuk ibu-ibu, orang-orang yang lebih berpengalaman, kawan-kawan, doktor malah MR. Google sendiri cara untuk turunkan suhu badan anak dengan lebih cepat dan berkesan.

Berikut saya kongsikan dengan ibu-ibu semua cara-cara yang saya peroleh daripada pelbagai sumber untuk menurunkan suhu anak-anak ketika demam :

1. Jangan mandikan anak dengan air sejuk

Apabila anak demam, memang kita digalakkan untuk memandikan mereka dengan lebih kerap. Tetapi, jangan mandikan mereka dengan air sejuk. Mandikan mereka dengan air hangat atau air yang suam-suam kuku. Air yang suam-suam kuku ini mampu menurunkan suhu badan anak. Jika mereka susah untuk mandi, lap-lap sahaja badan mereka dengan tuala yang direndam dalam air tersebut.

2. Campuran minyak kayu putih & bawang putih

Campuran antara minyak kayu putih dan bawang putih yang dibakar ini bolehlah digunakan untuk mengurut badan anak-anak. Minyak ini juga bolehlah disapu di bahagian dada, belakang badan dan juga tapak kaki. Cara untuk sediakan minyak ini amat mudah. Mula-mula, bakar beberapa ulas bawang putih, kemudian tumbuk (Jangan sampai hancur). Kemudian, campur saja dalam minyak kayu putih, SIAP!

3. Pakai stokin yang dibasahkan

Kita hanya perlu merendam sepasang stokin nipis ke dalam air sejuk dan kemudian letakkan di kaki. Kemudian, ambil sepasang lagi stokin yang kering, pakai apabila hendak tidur. Biarkan saja hingga pagi. 

4. Elakkan anak memakai baju

 


Ketika ini, saya memang tidak memakaikan anak saya baju. Saya biarkan mereka berseluar atau pakai pampers sahaja. Jika mereka mengadu sejuk, saya hanya menyelimut mereka dengan kain yang nipis, seperti kain pelekat suami saya. 




5. Letakkan tuala basah di dahi
Ini memang cara tradisional turun-temurun. Kadang-kadang saya ambil tuala tersebut dan saya letakkan di celah ketiak, atau di bahagian pelipat. Orang-orang tua cakap, letak di tempat tersebut pun dapat bantu kita menurunkan suhu badan anak-anak. 

Tapi sekarang zaman makin moden, jika dulu tuala basah sekarang kita boleh guna Cool Fever yang boleh dibeli di farmasi. Dalam gambar di atas, si Fahim guna tuala basah, manakala Farhan menggunakan Cool Fever. Dua-dua cara saya guna, asal suhu anak turun. 

6. Galakkan anak minum air yang banyak

Salah satu kesan dari demam adalah dehidrasi atau kekurangan air dalam badan. Jadi, ibu-ibu perlulah memberi anak-anak minum dengan lebih kerap dan banyak. Mungkin kita boleh memberikan mereka minum jus yng sejuk bagi melegakan mereka. 

 
7. Makan makanan yang pedas

 Jika anak kita gemar makanan edas, beri sedikit makanan pedas kegemaran mereka. Kenapa? Makanan pedas ini boleh membuatkan badan mereka berpeluh dan melancarkan peredaran darah dalam badan. 




8. Makanan berkhasiat

Berikan anak-anak makanan yang berkhasiat, agar imunisasi badan mereka makin tinggi. Antara makanan popular ketika demam, pastilah sup. Jadi, kita mungkin boleh masakkan mereka sup ayam dan kentang contohnya. Selain pemakan di rumah, saya pun ada memberikan anak saya suplemen. Ibu-ibu boleh baca suplemen yang saya berikan di SINI.

9. Anak harus rehat dan banyakkan tidur




Apabila mereka tidur, suhu badan mungkin boleh turun. Ini kerana, jika mereka terus aktif bergerak ke sana ke mari, badan mereka akan penat dan suhu pun boleh meningkat. 





Baiklah, ini antara cara ataupun tips yang saya gunakan untuk turunkan suhu anak-anak ketika mereka demam. Jika ibu-ibu ada tips yang lain, jom kongsi pada ruangan komen di bawah ini. Semoga anak-anak ita sentiasa dalam keadaan sihat dan cergas selalu. Aamiin...

0 comments: